Friday 9 December 2011

PANTUN MELAYU

Pantun ialah karangan berangkap yang menggunakan bahasa-bahasa yang indah. Pantun merupakan satu-satunya puisi tradisional yang tulen tanpa diserap oleh unsur-unsur sastera asing. Ia adalah nilai masyarakat melayu tradisional, sebab itu tidak disebut siapa penciptanya. Sifat-sifat pantun yang sederhana, ringkas dan mudah diingat menjadikan pantun sebagai puisi tradisional yang masih kekal dan popular sehingga ke hari ini di kalangan masyarakat. Sebagai sebuah karangan berangkap, pantun mempunyai ciri-ciri tertentu.

Ciri-ciri Pantun
Sebuah pantun wujud dalam satu rangkap yang lengkap dari segi makna. Setiap rangkap pantun terbahagi kepada 2 bahagian iaitu, bahagian pembayang dan bahagian maksud. (Bagi pantun 4 kerat, baris 1 dan 2 ialah pembayang, manakala baris 3 dan 4 adalah maksud, contohnya)

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Rima atau bunyi akhir nya adalah sejajar contohnya;

Bintang Barat terbit petan g,
Bintang Timur terbit pag i,
Jika ada umur yang panjan g,
Sehingga kita ketemu lag i. 

Pantun mempunyai antonasi yang sesuai untuk mengucapkannya. Setiap baris dalam pantun mempuntai 8 hingga 12 suku kata sebaris  manakala bilangan perkataan dalam sebaris adalah antara 4 hingga 5 perkataan.

Jenis-Jenis Pantun
1. Pantun Perpisahan:

Hari ini menugal jagung,
    Hari esok menugal jelai, 
Hari ini kita berkampung
    Hari esok kita bercerai.

Batang selasih permainan budak,
    Berdaun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
    Beribu tahun kembali juga.

2.  Pantun Teka-Teki

Tanam pisang sulung tahun,
    Malam-malam tanak nasi,
Dalam batang ada daun,
    Dalam daun ada isi?

Buah cermai di dalam dulang,
    Tepung digaul minyak sapi,
Anaknya ramai ibunya seorang,
    Apabila bergesel berapi-api? 

3.  Pantun Jenaka

 Oh bulan kemana bintang,
Atas pucuk kayu ara,
Oh tuan kemana hilang,
Dalam bilik anak dara.

Atas pucuk kayu ara, 
    Lebat daunnya pokoknya rindang,
Hilang kedalam bilik nak dara,
   Cuma meminta rokok sebatang.

4.  Pantun Budi

Payah kami menabur padi,
     Nenas juga ditanam orang,
Payah kami menabur budi,
     Emas juga dipandang orang.

Tinggi bukit gilang-gemilang,
     Air laut tenang-tenangan,
Budi sedikit tidakkan hilang,
    Itu menjadi kenang-kenangan.

5.  Pantun 2 kerat.

Terima kasih daun keladi,
    Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
    Banyak bercakap banyak berbohong.

Pecah kaca pecah gelas,
    Sudah dibaca harap dibalas.

Sebab pulat santan terasa,
    sebab mulut badan binasa.




No comments:

Post a Comment